Tuesday, December 30, 2008

MENGHITUNG HARI MENGIRA TAHUN

1 Jan 2009 Khamis

Siri 250

MENGHITUNG HARI MENGIRA TAHUN



Selamat tahun baru 2009. Malam tadi tepat jam 12 tengah malam ribuan masyarakat Malaysia berhimpun di ibukota semata-mata tidak mahu ketinggalan menyambut tahun baru. Mereka menghitung detik-detik waktu terutamanya apabila jam menunjukkan pukul 11.59 minit 50 saat. 10 saat yang terakhir tahun 2008 begitu dinantikan untuk menyingkap tabir 2009 yang baru.

Fenomena menghitung detik-detik waktu pada 10 saat terakhir bagaikan sudah menjadi budaya masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Mereka begitu menghargai setiap saat yang berlalu. 10, 9, 8. 7, 6, 5, 4, 3, 2, 1 dan mereka bersorak beramai-ramai dengan penuh kegembiraan. Sebenarnya budaya ini diambil daripada ajaran Islam yang menuntut umatnya menghargai waktu dengan menanti masuknya waktu solat. Walaubagaimanapun cara sambutan telah diubahsuai mengikut kehendak dan acuan nafsu Barat.

Alangkah baiknya andai kata semangat menghargai waktu walau sedetik ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian umat Islam masa kini. Jika mereka sanggup menunggu detik-detik waktu yang dinanti dengan penuh kesabaran mengapa mereka tidak boleh berbuat demikian dalam menunaikan solat secara berjamaah.

Dengan ertikata lain, sepatutnya umat Islam melakukan ”count down” bukan setahun sekali tetapi melakukannya 5 kali sehari. Alangkah bagusnya seandainya umat Islam dapat bersama-sama menunggu saat-saat masuknya waktu solat di masjid atau di surau. Untuk itu, tiada alasan kukuh yang boleh diterima jika kebanyakan kita tidak mampu berbuat demikian. Persoalannya mahu atau tidak, itu sahaja.

Ini kerana jadual waktu solat ada di mana-mana. Antaranya di kalender, akhbar, radio, televisyen, emel, telefon bimbit, hotel dan lain-lain tempat. Jika kita sanggup menunggu detik 12 tengahmalam kenapa kita tidak sanggup menunggu masuknya waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya? Jika kita sanggup berdiri dan berhimpit di dataran yang penuh sesak, kenapa kita tidak sanggup duduk beriktikaf di masjid yang sangat selesa?

Marilah kita merenung kisah para sahabat yang menghargai detik-detik waktu dalam kehidupan mereka dengan menghayati konsep hari, minggu, bulan dan tahun. Antaranya ialah dua kalimah syahadah (sepanjang masa) solat (sehari 5 kali), solat Jumaat (seminggu sekali), puasa (sebulan dalam setahun), zakat (setahun sekali) dan haji (sekali seumur hidup).

Dalam hal ini seorang Yahudi pernah mengemukakan satu soalan matematik kepada salah seorang sahabat. Soalan itu dikemukakan dengan tujuan untuk menguji sejauh mana pengetahuan seorang sahabat yang bergantung kepada ilmu wahyu. Soalan tersebut ialah : “Apakah angka bulat terkecil yang boleh membahagi angka 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 tanpa meninggalkan sebarang baki?”

Sahabat tersebut dengan hanya satu langkah mudah menjawab soalan tersebut dengan betul sedangkan pakar-pakar matematik di zaman itu menggunakan 7 langkah untuk menyelesaikannya. Pendekatan yang digunakan adalah pendekatan secara fitrah. Jawaban yang dikemukakan bukan sahaja boleh membahagi angka 1 hingga 9, malah boleh juga membahagi angka 10.

Dalam hal ini, perbandingan seseorang ilmuan yang boleh merujuk al-Quran dengan seseorang yang tidak boleh merujuk al-Quran adalah umpama langit dengan bumi. Terlalu jauh perbezaan antara keduanya.

Pertama, perhatikan rahsia angka tujuh. Dalam bahasa Inggeris angka tujuh ialah seven dan minggu ialah week. Apakah persamaan antara seven dan week dan perkataan tujuh dan minggu. Memang tiada perkaitan antara keduanya.

Manakala dalam bahasa Arab, angka tujuh ialah sab-‘a-tun yang berasal daripada gabungan (sin-ba-ain) dan minggu us-bu-‘un yang berasal daripada gabungan (sin ba-ain). Persamaan antara keduanya cukup jelas iaiatu keduanya berasal daripada gabungan huruf yang sama iaitu (sin-ba-ain). Perkaitan yang jelas ini memudahkan kita mempelajari matematik iaitu dalam seminggu ada tujuh hari kerana gabungan (sin-ba-ain) membawa makna 7 dan minggu.

Kedua, perhatikan rahsia angka tiga puluh. Dalam tahun masihi, bilangan hari dalam sebulan ialah samada 31 atau 30 atau 29 atau 28. Manakala dalam tahun hijrah pula bilangan hari dalam sebulan ialah samada 30 atau 29. Secara puratanya bilangan hari dalam sebulan ialah 30 hari.

Tahun Masihi berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.

Ketiga, perhatikan pula rahsia angka dua belas. Dalam al-Quran perkataan shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali. Antaranya ialah ayat yang sering dibaca ketika bulan Ramadan ialaitu dala Surah al-Qadr yang bermaksud: “Lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan”

Seterusnya perhatikan pula rahsia angka 2520 yang boleh membahagi angka 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 tanpa meninggalkan sebarang baki. Kalau angka 2520 dikaitkan dengan hari, bererti 2520 hari. Ini bermakna hari yang ke 2520 barulah kita boleh membahagi semua angka 1 hingga 10. Jumlah 2520 hari adalah bersamaan dengan 7 tahun. Jarak masa 7 tahun memang jarak masa yang seringkali dijadikan asas dalam berbagai bidang samada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Dalam sektor ekonomi umpamanya, kebiasaan keadaan ekonomi sesebuah negara terdapat tujuh tahun naik dan tujuh tahun yang merudum. Hal ini telah berlaku sejak sekian lama iaitu semenjak Nabi Yusuf hinggalah sekarang.

Dalam konteks sejarah negara kita pun senario tujuh tahun naik dan tujuh tahun merudum ini telah berlaku sejak merdeka lagi. Sebagai contohnya, tujuh tahun maju bermula pada 1957 hinggalah penubuhan Malaysia pada 1963. Bermula 1964 hingga 1971 pula dianggap sebagai merudum dengan peristiwa keluarnya Singapura pada 1965, konfrantasi bersama Indonesia pada 1967, rusuhan kaum pada 1969 dan banjir besar 1971.
Begitu juga keadaannya pada tahun 1990 hingga 1997 bolehlah dianggap sebagai tujuh tahun gemilang ekonomi Malaysia. Bagaimanapun tahun 1997 hingga 2004 bolehlah dianggap tahun merudum (ancaman jerebu, krisis politik 1998, peristiwa 11 September 2001 dan malapetaka tsunami akhir 2004).

Diharapkan tahun 2005 hingga 2012 adalah tahun gemilang bagi Malaysia. Sebab itu tahun 2007 yang berada dalam tempoh tujuh tahun gemilang dijadikan tahun Melawat Malaysia. Seterusnya dijangka tahun 2012 hingga 2019 adalah tahun merudum semula. Tahun 2020 hingga 2027 pula adalah tahun kemajuan. Jadi Malaysia meletakkan sasaran 2020 sebagai negara maju adalah satu perancangan yang sangat sesuai dengan izin Allah.

Dalam pendidikan, hubungan antara ibubapa dengan anak adalah mengikut skala umur 7 tahun. Ibubapa bermain-main dengan anaknya (7 tahun pertama) dan sebagai pembimbing (7 tahun kedua iaitu umur 8 tahun hingga 14 tahun). Seterusnya, ibubapa disarankan bertindak sebagai kawan ketika 7 tahun ketiga (umur 15 hingga 21 tahun).

Jadi, jika mampu menguasai Bahasa Arab seseorang boleh memahami al-Quran dan al-Hadis yang merupakan panduan hidup dengan mudah. Seterusnya ini memudahkan untuk meneroka pelbagai ilmu yang terkandung dalam al-Quran sepert sains dan matematik. Sehubungan itu, sempena tahun baru 2009 marilah berazam untuk menguasai Bahasa Arab.


‘Pendekatan Konvensional
Pendekatan Fitrah
Langkah
Arahan
Operasi
Arahan dan Operasi
Langkah 1
Darabkan semua
angka 1 hingga 9
1x2x3x4x5x6x7x8x9
7x30x12 = 2520
Langkah 2
Singkir angka 1
kerana 2 boleh bahagi 1
2x3x4x5x6x7x8x9
Rasional:
7= 7 hari dalam seminggu
30= 30 hari dalam sebulan
12=12 bulan dalam setahun

Langkah 3
Singkir angka 2
kerana 4 boleh bahagi 2
3x4x5x6x7x8x9
Langkah 4
Singkir angka 3
kerana 6 boleh bahagi 3
4x5x6x7x8x9
Langkah 5
Singkir angka 4
kerana 8 boleh bahagi 4
5x6x7x8x9
Langkah 6
Singkir angka 6
kerana (9x8=72) boleh bahagi 6
5x7x8x9
Langkah 7
Darabkan
5x7x8x9
2520

2520 ÷ 1 = 2520 2520 ÷ 2 = 1260
2520 ÷ 3 = 840 2520 ÷ 4 = 630
2520 ÷ 5 = 504 2520 ÷ 6 = 420
2520 ÷ 7 = 360 2520 ÷ 8 = 315
2520 ÷ 9 = 280 2520 ÷ 10 = 252

No comments: