Tuesday, December 30, 2008

DI SEBALIK TABIR RAHSIA TAQWIM HIJRAH

25 Dis 2008 Khamis

Siri 248

DI SEBALIK TABIR RAHSIA TAQWIM HIJRAH



Tahun 2008 sudah semakin hampir meninggalkan kita dengan hanya berbaki seminggu sahaja lagi. Ini bererti pada minggu hadapan, jika diizinkan Allah kita akan menyambut tahun baru 2009. Sebelum tahun 2008 menutup tirainya, eloklah kiranya kita membuat beberapa analisa penting apa yang berlaku sepanjang tahun ini.

Dalam tahun 2008, kita cukup bertuah kerana dapat merayakan sambutan tahun baru hijrah sebanyak dua kali. Pertama pada 10 Januari yang lalu (1429) dan yang kedua pada 29 Disember ini (1430). Fenomena ini hanya berlaku sekali sahaja dalam tempoh 33 tahun.

Begitu juga fenomena tarikh dan bulan yang serupa antara tahun 2008 dan tahun 1429 selama 2 bulan berturut-turut. Pada tahun ini, kita mula berpuasa pada 1 Ramadan 1429 yang bersamaan dengan 1 September 2008. Manakala kita berhariraya puasa pula pada 1 Syawal 1429 yang bersamaan pula dengan 1 Oktober 2008.

Persamaan ini berasaskan bulan kesembilan bagi tahun hijrah adalah bulan Ramadan dan bagi tahun Masihi pula adalah bulan September. Seterusnya bulan kesepuluh bagi tahun Hijrah adalah bulan Syawal berbanding bulan Oktober bagi tahun Masihi. Walaubagaimanapun persamaan ini berakhir pada 29 Syawal 1429 (29 Oktober 2008). Ini kerana pada 30 Oktober 2008, tarikh hijrahnya ialah 1 Zulkaedah 1429.

Persoalan tentang tahun hijrah dan tahun masihi ini memang sering diperbincangkan. Namun hingga ke hari ini, kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia masih belum begitu faham tentang kedua-dua tahun ini khasnya tahun hijrah. Dalam hal ini, sebenarnya banyak rahsia tentang perkiraan tahun yang belum diuar-uarkan kepada umum.

Apabila berbicara tentang apa jua persoalan kita tidak dapat lari daripada merujuk kepada panduan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta. Panduan tersebut sudah tentulah dari al-Quran dan al-Hadis. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab.

Sehubungan itu kita sewajarnya menguasai Bahasa Arab untuk meneroka dengan lebih jauh rahsia-rahsia tentang perkiraan hari, minggu, bulan, tahun, dekad, kurun dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kedua-dua tahun ini.

Tahun hijrah adalah berdasarkan bulan manakala tahun Masihi pula berdasarkan matahari. Antara bulan dan matahari, kedua-duanya sama penting kepada kehidupan kita. Di sebelah siang, matahari menyinari kehidupan kita manakala di sebelah malamnya pula bulan yang sudi menyuluh kegelapan yang kita hadapi.

Peranan keduanya dikaitkan dengan bait-bait puisi ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:Anta Syamsun Anta Badrun (Kaulah umpama matahari dan kaulah umpama bulan) Anta Nurun Fauqa nuri (Kaulah umpama cahaya di atas cahaya)
Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.

Dalam Surah at-Taubah ayat ke 36, Allah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan sepertimana dalam kitab Allah pada hari di mana Allah menjadikan langit dan bumi ini. Antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang (Muharram, Rajab, Zulkaedah dan Zulhijjah)”

Sehubungan itu kita dapat perhatikan semua tahun samada tahun hijrah masihi, Arab, Cina, India dan apa jua perkiraan tahun memiliki 12 bulan. Selain itu, perkataan ”shahrun” yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali. Antaranya ialah Surah al-Qadr ayat 3 yang bermaksud: “Lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan”

Dalam minggu ini umpamanya, masyarakat Islam di Malaysia banyak mengadakan perayaan sambutan Maal Hijrah samada di masjid atau di surau. Antara aktiviti yang paling popular ialah aktiviti ceramah tentang peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Makah ke Madinah.

Kebanyakan penceramah undangan bercerita tentang perjalanan Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar yang penuh ranjau ke Yathrib (Madinah). Antara isu yang sering difokuskan ialah peranan labah-labah yang telah membuat sarang sebaik sahaja mereka berdua memasuki gua Thur.

Langkah labah-labah tersebut menyebabkan orang Kafir Quraisy tidak berminat masuk ke dalam gua tersebut kerana merasa yakin bahawa tiada orang dalam gua. Pada fikiran mereka, jika ada orang yang masuk sudah tentulah sarang tersebut terkoyak. Sehubungan itu, labah-labah dianggap sebagai binatang yang mulia kerana menjadi penyelamat dan dijadikan lambang utama atau ikon bagi sambutan Maal Hijrah di Malaysia.

Tahukah anda, bahawa peranan yang dimainkan oleh labah-labah tersebut telah menarik perhatian para saintis Barat. Di ketika masyarakat Islam di Malaysia masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah.

Antara hasil dapatan ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Mereka mendapati bahawa baju yang dibuat daripada air liur labah-labah lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli.

Hasil kajian ini, Barat telah pun membuat tindakan paling drastik. Mereka pun menternak labah-labah secara besar-besaran dan membina kilang memproses air liur labah-labah. Di samping itu kajian ilmiah tentang rahsia labah-labah diteruskan dari semasa ke semasa. Hari ini, negara-negara Eropah seperti Britain menggunakan teknologi ini dalam bidang pertahanan. Mereka begitu yakin dengan fungsi labah-labah yang menjadi benteng yang kuat sehinggakan pihak musuh tidak dapat menyerang Nabi dan sahabatnya.

Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat Islam di Malaysia dan para saintis di Barat? Masyarakat Islam di Malaysia hanya berminat dengan kisah-kisah perjuangan Nabi tetapi rata-ratanya masih lagi kurang berminat untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Manakala saintis Barat sangat berminat mengkaji sirah Nabi dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Sehubungan itu, kita bertanya kepada diri kita sendiri : ”Siapa yang lebih mengambil pengajaran dan menghayati konsep Maal Hijrah?”

Informasi

Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.

Jika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak 5 kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).

Jika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).


As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua) telah tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut (thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis‘a) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bahawa bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.




Perbezaan antara tahun Masihi dan tahun Hijrah
Tahun 2009 Masihi
Tahun 1430 Hijrah
Bulan
Bilangan Hari
Bulan
Bilangan Hari
1-Januari
31
1-Muharram
30
2-Februari
28
2-Safar
29
3-Mac
31
3-Rabiul Awwal
30
4-April
30
4-Rabiul Akhir
29
5-Mei
31
5-Jamadil Awwal
30
6-Jun
30
6-Jamadil Akhir
29
7-Julai
31
7-Rajab
29
8-Ogos
31
8-Syaaban
30
9-September
30
9-Ramadan
29
10-Oktober
31
10-Syawal
30
11-November
30
11-Zulkaedah
29
12-Disember
31
12-Zulhijjah
30
Jumlah
365
Jumlah
354

Jika muat sertakan gambar labah-labah dan lambang Maal Hijah.
Diari
Ceramah Perdana Sempena Sambutan Maal Hijrah 1430
Tempat : Surau Puchong Utama, Selangor Darul Ehsan
Tarikh : 28 hb Disember 2008 (Ahad) Masa : Selepas Maghrib
Hubungi En Sulaiman (012-9747141)

No comments: