RAHSIA MAHIR BERBAHASA ARAB
Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab samada secara rasmi ataupun tidak. Walaubagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.
Ada juga yang bertanya “Apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tips mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?”Sehubungan itu, penulis inigin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab.
Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa Al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksima.
Dengan ertikata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat Al-Quran dan al-Hadis. Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini. Antara konsep itu ialah:
Pertama : Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian. Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab.
Dalam peperiksaan Bahasa Arab SPM, calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya sangat senang kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini.
Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDADAM ini adalah singkatan (“Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu”). Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah.
Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihuraikan, digunakan dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan “as-hala qamusin”. Apa yang dimaksudkan dengan “as-hala qamusin” ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.
Sehari sehelai benang,
Lama-kelamaan selembar kain.
Sehari satu kata pinjaman
Lama kelamaan “as-hala qamusin”.
Kedua : Konsep Zikrullah
Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawaban yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah “Kaifa haluk?” Terjemahannya “Apa khabar saudara?” Jawabannya ialah “Ana bikhair wal hamdulillah” Terjemahannya “Saya baik dan alhamdulillah”
Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawaban “alhamdulillah” iaitu menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah? Sehubungan itu kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.
Ketiga : Konsep Panggilan Mesra
Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam Al-Quran, perkataan ya... (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali. Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan.
Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini. Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina. Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi.
Keempat : Konsep Intonasi
Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi.
Sebagai contohnya perkataan “La” yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan. Perkataan “la” boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya.
Kelima : Konsep Bahasa Badan
Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang sekali menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka.
Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru.
Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya. Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab?
Keenam : Konsep Pengukuhan Dengan ayat Al-Quran, Al-Hadis dan Kata-kata hikmat
Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam Al-Quran, Hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklumi, bahasa Al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa. Begitu juga dengan Al-Hadis dan kata-kata hikamt dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.
Sehubungan itu kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.
Keenam-enam konsep ini telah diterapkan sedikit demi sedikit dalam program MAHIR. Pemilihan perkataan MAHIR ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ialah mahir adalah kata pinjaman yang berasal daripada Bahasa Arab. Ia mudah difahami dengan mudah oleh kebanyakan warga Malaysia.
Bahan
Kekerapan
Pencapaian
Tugas
M-Majalah
Majalah MAHIR
Sebulan sekali
Keluaran ke 11 sejak Mei 2007
Ketua Pengarang
A-Akhbar
H-Harian
Utusan Malaysia, Bahagian Mega, Ruangan “Kenali bahasa Al-Quran”
Dua kali seminggu
Siri ke 189 sejak 27 Jan 2006
Kolumnis
I-Internet
Blog http://drarabic.blogspot.com
Dikemaskini setiap minggu
Memuatkan pelbagai isu bahasa Arab sejak Jan 2008
Penulis
R-Radio
Radio IKIM, rancangan “Haiya Bil Arabiah”
Setiap hari Isnin hingga Jumaat
Sebanyak 250 siri belajar dirakamkan dalam tempoh setahun (Julai 2006 hingga Jun 2007)
Tetamu rancangan
Selamat belajar bahasa Arab dan menguasainya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
2 comments:
assalamualaikum..dr ada upload rakaman haiya bil arabiah x kat mana2??
salam
tq
rakama ada di radio ikim
50 cd
1 cd 5 siri
i siri 10 minit
jadi ada 250 siri
2500 minit
sila hubungi pihak ikim.fm
Post a Comment